Ya, sabar itu indah bagi mereka yang tahu menilainya. Tak semua mampu untuk bersabar dalam banyak hal.
Seperti apa yang pernah dialami sendiri oleh Princess. 3 tahun kami menunggu hadirnya zuriat dalam hidup kami. Walau usaha cara mana sekali pun tapi jika Allah tetap tidak mahu memberi zuriat maka tiadalah. Bukan bermaksud putus asa. Tapi kita hanya percaya pada qada' dan qadar Allah.
InsyaAllah mungkin suatu hari nanti pasti ada rezeki zuriat yang Allah ingin beri. Cuma mungkin belum tiba waktunya Allah ingin memberi.
Rezeki masing-masing adalah berbeza. Jadi, kita jangan kuatir jika ada yang melaga-lagakan kita dengan orang lain. Hanya senyum dan sabar.
Dalam masa 3 tahun ini juga Princess belajar apa itu erti sabar. Erti tawakal. Dan erti redha. Tiga perkara yang Princess pegang untuk dijadikan benteng dari kutukan orang.
Mulut orang bukan boleh kita tutup. Selagi mereka tidak penat selagi itu meraka mahu melaga-lagakan kita. Jadi hanya bersabarlah yang mampu kita lakukan dalam situasi begini.
Ya. Mungkin tidak mudah untuk bersabar tambahan lagi soal mengenai zuriat. Semua yang berkahwin memang mengimpikan cahaya mata sebagai pengikat kasih antara dua insan. Tapi rezeki itu berbeza bagi setiap individu. Ada yang Allah turunkan rezeki itu cepat. Alhamdulillah. Ada pula yang lambat. Pun Alhamdulillah. Cepat atau lambat bukan pengukurnya. Tapi yang mengukur segalanya adalah kesabaran. Belum tentu orang yang dikurniakan zuriat awal dapat bersabar dengan perangai anak mereka. Dan kita bernasib baik kerana masih boleh belajar dari pengalaman-pengalaman mereka.
Salah satu yang paling menguji kesabaran adalah pregnant test. Ya, pregnant test itu sendiri kadang-kadang menguji kesabaran kita. Cuba bayangkan 1-2 bulan tak datang haid. Lepastu try buat UPT. Kalau double line mungkin hati berbunga-bunga. Tapi kalau satu line je bukan ke boleh jadi tekanan jiwa. Dan lagi sekali sabar adalah cara melepaskan tekanan.
Selama 3 tahun ini Princess tahu, Princess tak keseorangan. Masih ada yang mampu memberi sokongan dan dorongan kepada diri ini. Tak semua faham apa yang kita alami. Mereka tiada dalam situasi kita jadi dengan senang hatinya mereka boleh bercakap. Cuba mereka duduk dalam situasi kita. Princess rasa sampai kering air mata pun mereka tetap tak dapat terima hal ini.
Dalam hal ini, Princess tak anggap pun ianya suatu kekurangan. Tapi Princess anggap ia suatu kelebihan. Ya, kelebihan. Dalam pada kita memikirkan cara memiliki zuriat kita juga banyak belajar dari orang di sekeliling kita. Kita lihat pengalaman mereka. Kita belajar dari kesilapan mereka. Mana tahu Allah beri kita peluang itu untuk menjadikan kita ibu dan bapa yang baik suatu hari nanti. InsyaAllah.
Pernah terfikir. Kenapa Allah belum lagi mengurniakan aku zuriat? Tapi bila mana soalan itu muncul, tak payah cari jauh-jauh jawapannya. Jawapannya sentiasa ada. Kena sentiasa ingat. Dalam dunia ni bukan aku sorang yang Allah tak kurniakan zuriat lagi. Tapi ramai. Mungkin ada yang lagi lama dari aku yang menunggu hadirnya zuriat dalam hidup mereka. Dan mereka ok je. Tahap kesabaran mereka lagi tinggi dari aku. 3 tahun tu apa lah sangat nak dibandingkan mereka yang dah 5 tahun atau mungkin ada yang sampai berbelas tahun. Mana tahu kan.
Mungkin kita patut bersyukur dengan setiap kurniaan yang Allah telah jadikan untuk kita. Lambat atau cepat itu urusan Allah. Kita sebagai hambanya harus terus bertawakal, berusaha dan redha. Dan yang paling penting yang perlu diletakkan nombor 1 dalam hati kita ialah SABAR... InsyaAllah akan ada bahagian untuk kita. InsyaAllah...
Friday, 22 November 2013
SABAR ITU INDAH
Subscribe to:
Posts (Atom)